DISEMBER 2023

Lebuhraya Pan Borneo Membuka Lembaran Baru Pembangunan Sarawak


KUCHING, 3 Dis - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata bahawa penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo bukanlah penamat bagi pembangunan infrastruktur di Sarawak. 

Beliau menyatakan bahawa kerajaan akan terus melanjutkan pembangunan infrastruktur mega di negeri tersebut.

Dalam ucapan beliau semasa Majlis Makan Malam Impian Jadi Realiti Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Abang Johari menyatakan bahawa pembangunan lebuhraya sejumlah lebih RM16 bilion tersebut telah menjadi proses pembelajaran yang penting bagi kerajaan Sarawak. 

Projek ini telah membolehkan pembinaan jalan jajaran pantai dan jalan utama yang bersambung ke lebuhraya tersebut.

"Saya rasa projek ini bukan sahaja merancakkan pembangunan kita, tetapi menjadi learning curve untuk melaksanakan projek-projek yang besar di Sarawak," ujar beliau.

Premier Sarawak menekankan bahawa selepas penyiapan Lebuhraya Pan Borneo, fokus seterusnya akan diberikan kepada pembinaan Jalan Pesisir Sarawak, termasuk Jalan Utama Kedua dengan jarak 896 kilometer dari Kuching sehingga ke utara Sarawak. 

Rancangan itu juga merangkumi pembinaan jalan utama sepanjang 145 kilometer ke Marudi, kawasan pendalaman di Bahagian Miri dengan Long Terawan dan Taman Negara Mulu.

Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak akan melaksanakan jaringan paip gas di seluruh negeri dan membangunkan pelabuhan gas di selatan Sarawak, untuk memajukan ekonomi ke arah tenaga hijau. 

“Kerajaan Sarawak juga dalam perancangan untuk melaksanakan jaringan paip gas di seluruh Sarawak dengan membangunkan pelabuhan gas di selatan Sarawak, ini akan memberikan kemudahan moden yang mengubahkan ekonomi kita kepada tenaga hijau, termasuk juga dalam bidang telekomunikasi,” tambah beliau. 

Abang Johari juga meminta kepada Centexs untuk menyediakan kursus-kursus bagi memupuk lebih banyak pekerja mahir dalam bidang berkaitan kerana menurut beliau Sarawak masih memerlukan tenaga mahir dalam bidang tersebut bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek yang akan dilaksanakan kelak.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah, dan Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Sumber dari : Sarawakku